Utama » Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR)
SKIM PEMBANGUNAN KESEJAHTERAAN RAKYAT (SPKR)
SKIM PEMBANGUNAN KESEJAHTERAAN RAKYAT (SPKR)
- Menerusi Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMKe11), Teras Kedua : Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat, program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) diteruskan sebagai salah satu touch point utama Kerajaan yang sentiasa prihatin menjaga kesejahteraan dan mendahulukan kebajikan rakyat.
- SPKR merupakan salah satu program pembasmian kemiskinan luar bandar dalam memastikan kumpulan sasar (miskin dan miskin tegar) dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.
- Tiga (3) komponen SPKR utama SPKR iaitu :
- Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) iaitu pemberian bantuan baik pulih atau bina baharu rumah khusus kepada golongan miskin dan miskin tegar luar bandar;
- Program Latihan Kemahiran Dan Kerjaya (PLKK) yang menyediakan peluang latihan untuk kerjaya khususnya kumpulan B40 di luar bandar; dan
- Program Peningkatan Pendapatan (PPP) iaitu program pemberian bantuan peralatan serta latihan kepada kumpulan B40 di luar bandar bagi meningkatkan pendapatan semasa dan seterusnya keluar daripada zon kemiskinan.
Ketiga-tiga program utama ini membentuk suatu pakej nilai tambah untuk memperkasa dan memberi keupayaan kumpulan sasar (miskin tegar, miskin dan B40 luar bandar) membentuk jati diri, menjana pendapatan sendiri selain memiliki kediaman yang selamat dan selesa.
PROGRAM PERUMAHAN RAKYAT TERMISKIN (PPRT)
- Secara purata, permohonan bantuan rumah yang diterima melalui Bank Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih) adalah berjumlah lebih 30 ribu permohonan pada setiap tahun. Selain permohonan melalui data bank tersebut, Kementerian juga menerima permohonan melalui Focus Group Daerah/ Negeri, permohonan individu/ berkelompok, aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). Walau bagaimanapun, bantuan rumah yang dapat disalurkan kepada kumpulan sasaran adalah tertakluk kepada peruntukan tahunan yang diterima oleh Kementerian.
- Bagi tahun 2019, Kerajaan telah diperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) meliputi bantuan bina baharu dan baik pulih rumah.
- Dianggarkan sebanyak 8,578 rumah dapat diluluskan dengan pecahan RM86.038 juta diperuntukkan bagi bantuan bina baharu rumah sebanyak 1,224 unit dan RM113.962 juta diperuntukkan bagi pembaikan 7,354 unit rumah daif di seluruh negara. Ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 42 ribu isi rumah seluruh negara.
- Bagi pelaksanaan tahun 2019, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) telah ditambah baik dalam beberapa perkara untuk memastikan pelaksanaan yang lancar dan impak yang lebih besar. Antara perkara yang telah ditambah baik adalah:
- Perubahan spesifikasi dan rekabentuk PPRT sedia ada melibatkan pengurangan kos sehingga 18%. Walau bagaimanapun, perubahan ini tidak menjejaskan kualiti serta skop PPRT sedia ada iaitu dengan keluasan 660 kaki persegi dan 3 bilik tidur. Pengurangan kos ini membolehkan tambahan unit rumah dapat disediakan kepada penerima yang layak.
- Memulakan kaedah pelaksanaan pembinaan secara Industrialised Building System (IBS) bertujuan untuk mengurangkan tempoh dan kos pembinaan. Namun begitu, speksifikasi dan kualiti bahan dikekalkan setara dengan kaedah konvensional;
- Mengadakan program latihan industri dalam projek-projek PPRT di seluruh negara kepada pelatih-pelatih GIATMARA serta institusi latihan di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah. Program ini memberi pendedahan latihan sebenar industri pembinaan kepada peserta untuk meningkatkan kebolehpasaran pelatih setelah tamat kursus.
- Memperluaskan sumber data penerima PPRT bagi memastikan bantuan dapat diberikan dengan lebih menyeluruh. Selain sumber data penerima PPRT adalah melalui sistem eKasih, Focus Group Daerah/ Negeri, Kementerian turut memperluaskan sumber maklumat dengan mengadakan program Search and Assist oleh pegawai kementerian serta agensi di bawah Kementerian; dan
- Kementerian juga telah menambah baik tatacara pelaksanaan program PPRT dengan memberi fokus kepada kualiti pelaksanaan, keperluan khas untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) serta menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi proses-proses berkaitan kawalan pelaksanaan.
PROGRAM LATIHAN KEMAHIRAN DAN KERJAYA (PLKK)
- PLKK menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulan sasar mengikuti kursus-kursus latihan jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk kemahiran asas Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) Sijil Kemahiran Malaysia SKM I, SKM II dan SKM III.
- Ia bertujuan bagi meningkatkan kemahiran kumpulan sasar supaya mereka mampu mendapat pekerjaan atau mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan yang lebih tinggi dan seterusnya mengeluarkan mereka serta keluarga dari belenggu kemiskinan.
- Kumpulan sasar bagi pelaksanaan program ini terdiri daripada golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40). Kriteria kumpulan sasar yang layak adalah seperti berikut:
- disahkan sebagai miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40) berserta berdaftar dalam Bank Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih); atau
- diperaku dan disahkan layak oleh Focus Group Pembasmian Kemiskinan Negeri atau Daerah (FG); dan
- bagi kes-kes tertentu yang memerlukan pengecualian daripada kriteria di atas hendaklah dirujuk dan mendapat kelulusan KPLB.
PROGRAM PENINGKATAN PENDAPATAN (PPP)
- Sebanyak RM7 juta telah diperuntukkan bagi program ini yang menyediakan bantuan peralatan dan kursus pra-pelaksanaan projek kepada golongan miskin tegar , miskin dan B40 luar bandar yang produktif bagi menjalankan projek-projek ekonomi mengikut kemahiran masing-masing.
- Disasarkan seramai 700 peserta dapat dibantu dengan kadar bantuan maksimum RM10 ribu bagi setiap peserta.
- Fokus pelaksanaan program pada tahun 2019 adalah kepada projek yang mempunyai elemen mentor mente. Ia bagi memastikan peserta mendapat bimbingan dan sentiasa dipantau supaya bantuan projek dapat menghasilkan peningkatan pendapatan dan konsisten. Sebagai contoh, mentor (syarikat) akan membantu menyediakan khidmat nasihat, pemasaran produk, pemantauan kualiti dan lain-lain kepada mente (peserta PPP) dalam tempoh tertentu.
(Nota : Senarai mentor yang telah dipersetujui – Ramly Burger, La Joyce (urutan bersalin) dan usahawan keropok lekor di Sarawak)