PROGRAM LATIHAN KEMAHIRAN DAN KERJAYA (PLKK)
- PLKK menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulan sasar mengikuti kursus-kursus latihan jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk kemahiran asas Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) Sijil Kemahiran Malaysia SKM I, SKM II dan SKM III.
- Ia bertujuan bagi meningkatkan kemahiran kumpulan sasar supaya mereka mampu mendapat pekerjaan atau mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan yang lebih tinggi dan seterusnya mengeluarkan mereka serta keluarga dari belenggu kemiskinan.
Kumpulan sasar bagi pelaksanaan program ini terdiri daripada golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40). Kriteria kumpulan sasar yang layak adalah seperti berikut:
- disahkan sebagai miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40) berserta berdaftar dalam Bank Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih); atau
- diperaku dan disahkan layak oleh Focus Group Pembasmian Kemiskinan Negeri atau Daerah (FG); dan
- bagi kes-kes tertentu yang memerlukan pengecualian daripada kriteria di atas hendaklah dirujuk dan mendapat kelulusan KPLB.
Syarat-syarat pelaksanaan PLKK adalah seperti berikut:
- Pelatih PLKK adalah warganegara Malaysia;
- Had umur pelatih adalah 15 tahun ke atas. Walau bagaimanapun keutamaan diberikan kepada belia di bawah umur 40 tahun;
- Keupayaan minimum dalam membaca, menulis dan mengira (3M);
- Mempunyai tahap kesihatan yang baik serta tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah;
- Keutamaan kepada pelatih/peserta yang belum pernah mengikuti latihan kemahiran di mana-mana institusi latihan;
- Pelatih/peserta yang telah tamat Tahap 1 dan Tahap 2 serta berpotensi untuk meneruskan pengajian ke Tahap 3 di tempat latihan yang sama atau lain-lain tempat latihan;
- diperaku oleh Mesyuarat Jawatankuasa PLKK peringkat KPLB; dan
- bagi kes-kes tertentu yang memerlukan pengecualian daripada syarat-syarat di atas hendaklah dirujuk dan mendapat kelulusan KPLB.
Sektor-sektor kemahiran yang dibiayai di bawah PLKK adalah seperti berikut:
- Aeroangkasa;
- Automotif;
- Bangunan & Pembinaan;
- Bangunan & Pembinaan;
- Cenderahati & Industri Kecil;
- Elektrik & Elektronik, Telekomunikasi & Industri Penyiaran;
- Hospitaliti & Pelancongan;
- ICT & Multimedia;
- Industri Perkhidmatan Logistik Bersepadu;
- Kimpalan;
- Landskap & Alam Sekitar;
- Makanan & Minuman;
- Minyak & Gas;
- Pembuatan;
- Pemesinan & Peralatan;
- Pendidikan & Perkhidmatan Latihan;
- Pengangkutan;
- Pengurusan Bisnes;
- Penjagaan & Perkhidmatan Komuniti;
- Percetakan;
- Perkhidmatan & Penyelenggaraan Mekanikal Dan Elektrik;
- Perladangan & Komoditi;
- Pertahanan & Perkhidmatan Keselamatan;
- Pertanian & Asas Tani;
- Perubatan & Farmaseutikal;
- Seni & Kebudayaan; dan
- Tekstil & Pakaian.
KPLB juga dari masa ke semasa boleh memberikan pertimbangan kelulusan bagi bidang-bidang latihan kemahiran yang baharu dan mempunyai potensi serta permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan.
Agensi-agensi Pelaksana diminta menyesuaikan bidang-bidang kemahiran dengan minat dan kemampuan peserta serta kehendak pasaran semasa.
Kadar bantuan meliputi yuran pengajian, tempat tinggal, makan/minum peserta serta elaun peserta. Bagi kursus kurang tempoh sebulan, setiap peserta hendaklah diberi Elaun Hilang Pendapatan sebanyak RM25 sehari manakala bagi kursus lebih dari tempoh tersebut, Elaun Sara Hidup sebanyak RM150 sebulan hendaklah diberikan.
- KPLB berfungsi sebagai penyelaras utama dari segi penggubalan dasar dan strategi pelaksanaan serta membuat perancangan, penyelarasan, pemantauan dan penilaian impak projek di peringkat Persekutuan dan melaporkan kemajuan pelaksanaan program kepada Agensi Pusat.
- KPLB boleh melantik mana-mana agensi di bawah KPLB yang terdiri daripada Pejabat KPLB Negeri, Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta anak-anak syarikat agensi sebagai Agensi Pelaksana PLKK.
- Kursus/ latihan PLKK juga boleh dilaksanakan melalui kerjasama dengan Kementerian-kementerian lain dengan menggunakan Pusat Latihan/ Institut Kemahiran Kerajaan. Contohnya, kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan agensi-agensi di bawahnya iaitu seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perikanan, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan sebagainya.
- Agensi-agensi Pelaksana juga hendaklah memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada peserta PLKK yang dilatih mendapat jaminan pekerjaan.