LATAR BELAKANG PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Transformasi Pembangunan Luar Bandar Pertama

Diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1957 dengan matlamat untuk membangunkan prasarana fizikal dan membekalkan secara meluas kemudahan asas kepada penduduk luar bandar.Ia memberi landasan yang kukuh kepada kawasan luar bandar untuk bergerak giat dan maju.

Rancangan Buku Merah (RED Book)

Dilancarkan pada 6 Mei 1960 untuk menjadikan atur cara pembangunan selari di semua kawasan-kawasan luar bandar dengan pelaksanaan melalui 3 peringkat iaitu peringkat Pusat, Negeri dan Daerah. Ia merupakan langkah untuk menanam sifat berkomuniti dan berkepentingan dalam pembangunan setempat apabila rakyat dan pemimpin digembeling bukan sahaja dalam proses pelaksanaan pembangunan tetapi dalam proses perancangan juga. Pada zaman pengunaan RED Book, Malaysia dilihat sebagai model negara yang mempunyai pendekatan pembangunan luar bandar yang mantap diperingkat global dan merupakan momentum pertama pembangunan luar bandar.

Bahagian Pelajaran Dewasa

Yang ditubuhkan pada tahun 1961 di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar adalah langkah permulaan untuk pembangunan modal insan dengan membasmi buta huruf di kalangan masyarakat luar bandar. Bahagian ini pada tahun 1977 selanjutnya diberi nama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang pada dasarnya terlibat dalam pembangunan modal insan dan pembangunan masyarakat luar bandar.

Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Yang diperkenalkan pada tahun 1970 mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Hampir 90% penduduk luar bandar pada ketika itu adalah miskin dan melalui DEB, usaha-usaha pembasmian kemiskinan telah membuka peluang ekonomi dengan lebih luas di samping membekalkan perkhidmatan kesihatan dan perumahan kepada penduduk miskin tanpa mengira kaum. Bagi penyusunan semula masyarakat, keadaan ekonomi yang tidak seimbang diperbaiki bagi mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Halacara Baru Dalam Pembangunan Kampung dan Luar Bandar

Pada 10 Jun 1984, Halacara Baru Dalam Pembangunan Kampung dan Luar Bandar yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir adalah usaha menyeluruh untuk memperbaiki taraf ekonomi masyarakat luar bandar. Ia bertujuan untuk meningkatkan mutu dan daya pengeluaran pertanian, meninggikan pendapatan petani dan pekerja desa serta memudahkan penyampaian perkhidmatan dan prasaran. Ia juga akan mengurangkan kemiskinan dengan memupuk semangat berusaha bekerjasama disamping menimbulkan sifat-sifat jaya diri dalam usaha ekonomi yang menguntungkan.

Transformasi Pembangunan Luar Bandar Kedua

Pada tahun 1994 adalah bermulanya tumpuan kepada pembangunan sumber daya insaniah terutamanya pembangunan insan bagi masyarakat luar bandar. Ia merupakan suatu anjakan paradigma pemikiran dan pendekatan sebagai pelengkap kepada falsafah yang mendasari Transformasi Pembangunan Luar Bandar Pertama. Transformasi ini dapat dilihat dengan jelas apabila jentera digunakan untuk meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan tenaga kerja.

Falsafah dan Strategi Baru Pembangunan Luar Bandar

Yang diperkenalkan pada tahun 1994 adalah untuk membentuk insan luar bandar yang berkualiti dan menguasai nilai murni, agar mereka dapat menggunakan masa, informasi dan sumber yang ada pada tahap paling optimum dan akhirnya menghasilkan tahap pembangunan ekonomi dan kesejahteraan keluarga yang cemerlang.Peluang-peluang ekonomi yang disediakan di luar bandar akan dimanfaatkan sumber manusia dengan lebih menyeluruh.

Gerakan Desa Wawasan (GDW)

Yang dilancarkan pada 4 Julai 1996 oleh Tun Dr Mahathir Muhammad menekankan kepada penglibatan penduduk kampung itu sendiri dalam proses perancangan dan program pembangunan ke arah menjadikan desa lebih maju, menarik dan menguntungkan.Ia adalah usaha yang tersusun dan berterusan melalui proses membangkitan kesedaran dan pembangunan sikap penduduk kampung ke arah transformasi luar bandar.4 pendekatan iaitu menyusun semula kampung-kampung, memajukan pertanian secara ladang, mewujudkan industri kecil dan perusahaan kecil bukan pertanian dan mewujudkan perbandaran kawasan luar bandar.

Gerakan Daya Wawasan (GDayaW)

Yang dilancarkan pada tahun 2003 adalah untuk memastikan kawasan luar bandar mencapai kemajuan berganda dengan secepat mungkin bagi mencapai Wawasan 2020 untuk menjadikan desa maju, menarik dan menguntungkan.GDataW merupakan sintesis strategik dan penambahbaikan daripada dua pendekatan utama pembangunan luar bandar iaitu Halacara Baru Pembangunan Kampung dan Luar Bandar; dan GDW.Terdapat 3 aspek daya yang diberi penekanan iaitu Daya Manusia, Daya Ekonomi dan Daya Pasaran.

Program Lonjakan Mega Luar Bandar melalui Program Agropolitan

Telah dilancarkan pada 11 Ogos 2007 oleh Dato’ Seri Abdullah Bin Ahmad Badawi di Pulau Banggi, Sabah. Ia adalah satu projek Agropolitan yang dilaksanakan untuk mencapai matlamat menghapuskan kemiskinan tegar menjelang tahun 2010. Tumpuan pelaksanaan adalah kepada sasaran 10,000 Ketua Isi Rumah Miskin tegar (KIRMT) daripada baki KIRMT seluruh Malaysia dan dibawa ke kawasan terpencil, mundur dan terbiar yang dibangunkan dengan 3 komponen utama iaitu pembangunan infrastruktur, pembangunan ekonomi dan pembangunan modal insan.

Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau Rural and Industrial Development Authority (RIDA)

Merupakan organisasi yang ditubuhkan pada tahun 1951 dengan objektif umumnya untuk memberi keselesaan dan meninggikan taraf sosio-ekonomi menyarakat luar bandar dengan peningkatan awalnya pembangunan prasarana dan pembangunan industri desa. Kedai bergerak RIDA yang diperkenalkan pada 15 Januari 1960 adalah usaha untuk memasarkan produk-produk luar bandar demi memupuk minat penduduk luar bandar dalam industri desa.

Rancangan Malaya Pertama (RMA1)

Yang diperkenalkan pada tahun 1956 mempunyai matlamat utama kepada pembangunan ekonomi yang lebih memberi penekanan kepada sektor luar bandar. Ketika ini, taraf ekonomi dan pencapaian luar bandar amat rendah berbanding masyarakat bandar.

Rancangan Malaya Kedua (RMA2)

Pada tahun 1961 telah menggunakan strategi perancangan dengan memberi tumpuan utama kepada pembangunan luar bandar serta penyertaan rakyat dalam proses perancangan dan pelaksanaan.