desa kirana-bm-2026
Desa Kirana

Desa Kirana - Pemangkin Pelancongan Desa Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

Desa Kirana merupakan inisiatif strategik atau game changer yang diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada tahun 2025, untuk memugar pelancongan desa sedia ada agar pendekatannya lebih mampan, inklusif dan bernilai tambah tinggi. Program ini juga merupakan persediaan KKDW menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), dengan penekanan kepada lima (5) elemen tarikan utama iaitu warisan dan kebudayaan, tarikan alam semula jadi, gastronomi tempatan, produk tradisional dan pengalaman kehidupan desa.

Melalui program ini, KKDW mempakejkan tarikan pelancongan desa sedia ada yang berpotensi ke dalam satu pengalaman pelancongan yang menyeluruh. Pendekatan ini membolehkan semua kategori atau jenis pelancong dapat menikmati kesemua tarikan tersebut secara bersepadu apabila mereka mengunjungi sesuatu lokasi Desa Kirana. Program ini juga sebagai wadah untuk komuniti desa menjadi pemain utama dalam sektor pelancongan, sekali gus menjana ekonomi komuniti setempat.

Desa Kirana memberi peluang kepada semua kategori atau jenis pelancong termasuk digital nomad untuk menikmati pengalaman autentik kehidupan desa Malaysia seperti menginap di inap desa, menyertai aktiviti agropelancongan dan ekopelancongan, menyusuri sungai, mendaki bukit atau gunung, belajar memasak makanan tradisional, menghasilkan kraftangan serta menyelami budaya tempatan.

Fasa pertama pelaksanaan akan bermula pada tahun 2025 melibatkan 25 lokasi yang telah dikenalpasti dari kalangan kampung-kampung yang pernah menerima pengiktirafan di bawah program-program KKDW dan agensi-agensinya termasuk di bawah seliaan FELDA, seperti Anugerah Desa MADANI, Desa Lestari, Anugerah Kampung Sejahtera, Anugerah Keceriaan Kampung FELDA dan lain-lain.

Bagi mengukuhkan mekanisme pelaksanaan Desa Kirana, latihan atau program pembangunan kapasiti komuniti akan dilaksanakan oleh Institut Kemajuan Desa (INFRA) terutamanya kepada pengusaha inap desa atau homestay. Selain dari itu, penaiktarafan infrastruktur akan dilaksanakan berdasarkan keperluan lokasi dan penggunaan secara optimum fasiliti sedia ada seperti Pusat Komuniti Desa (PKD) dan kemudahan-kemudahan seperti balai raya dan lain-lain lagi. Platform e-dagang seperti Desamall juga akan dimanfaatkan bagi tujuan promosi pakej pelancongan dan menerima tempahan dari pelanggan.

Sebagai simbolik permulaan Desa Kirana, majlis rasmi peluncurannya telah dilaksanakan pada 26 Jun 2025 oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Majlis ini sebagai tanda komitmen KKDW dalam memperkukuh sektor pelancongan desa selaku pemangkin ekonomi luar bandar.

SENARAI DESA KIRANA

KOLEKSI BERITA

KOLEKSI GAMBAR

KOLEKSI VIDEO

SENARAI VIDEO

AGENSI KERAJAAN TERLIBAT

logo desa lestari
PKD-new
logo ADM
logo desamall new

URUS SETIA DESA KIRANA

Sekiranya terdapat pihak yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif Desa Kirana, sila hubungi:

Bahagian Komuniti Desa
Aras 20, No. 47, Persiaran Perdana, Presint 4

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 PUTRAJAYA
Tel: 03-8891 2080/2081/5634/2099/2107