Jenis-jenis keahlian adalah seperti berikut:

Ahli Biasa

  • Keahlian adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia kecuali di Sarawak yang terdiri daripada:
  • Isteri anggota perkhidmatan awam di semua peringkat kumpulan perkhidmatan di Malaysia.
  • Anggota wanita di semua peringkat kumpulan perkhidmatan awam di Malaysia.
  • Isteri anggota perkhidmatan awam di semua peringkat kumpulan perkhidmatan yang telah bersara atau meninggal dunia.
  • Isteri anggota perkhidmatan awam yang diceraikan
  • Anggota wanita perkhidmatan awam yang telah bersara.

Ahli Bersekutu

Ahli bersekutu terbuka kepada :

  • Isteri anggota perkhidmatan awam yang belum menjadi warganegara Malaysia (kuat kuasa mulai 15 September 1993)*.
  • Pekerja wanita yang digajikan oleh Persatuan.**
  • Ahli-ahli dari agensi-agensi Kerajaan yang telah diswastakan.
  • Ahli bersekutu layak menikmati keistimewaan seperti juga ahli-ahli biasa, berhak bersuara tetapi tidak berhak untuk mengundi atau memegang mana-mana jawatan dalam Persatuan.
  • Keahlian seseorang ahli bersekutu dalam kategori (*) di atas akan luput dengan sendirinya apabila suaminya berhenti atau diberhentikan daripada perkhidmatan dengan Kerajaan (berkuat kuasa mulai 15 September 1993).
  • Keahlian seseorang ahli bersekutu dalam kategori (**) di atas akan luput dengan sendirinya apabila ia berhenti atau diberhentikan daripada perkhidmatan dengan Persatuan (berkuat kuasa mulai 15 September 1993).

Ahli Gabungan

  • Ahli gabungan terbuka kepada Persatuan wanita yang di Kementerian/Negeri yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan
  • Keahlian ahli gabungan akan diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Tertinggi berdasarkan permohonan di dalam borang yang disediakan.

Ahli Kehormat

Yang Dipertua dengan Persatuan Majlis Tertinggi boleh melantik Ahli Kehormat di kalangan wanita-wanita yang difikirkan boleh memberi sumbangan yang boleh memanfaatkan Persatuan. Ahli Kehormat tidak mempunyai kuasa untuk mengundi di dalam apa-apa mesyuarat.

Ahli Seumur Hidup

  • Ahli seumur hidup terdiri daripada ahli-ahli biasa yang membayar yuran seperti yang ditetapkan.
  • Ahli seumur hidup mempunyai hak-hak yang sama seperti ahli biasa iaitu berhak menghadiri mesyuarat, bercakap dan mengundi di dalam Mesyuarat Agung Perwakilan, Mesyuarat Khas untuk mesyuarat-mesyuarat agung di peringkat cawangan dan boleh dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi, Ahli Jawatankuasa Kerja Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa Cawangan.
  • Ahli seumur hidup daripada agensi-agensi Kerajaan yang diswastakan* akan terus kekal menjadi ahli tetapi tidak berhak mengundi atau memegang mana-mana jawatan dalam Persatuan.
  • Ahli seumur hidup kecuali * mempunyai hak-hak yang sama seperti ahli biasa iaitu berhak menghadiri mesyuarat, bersuara dan mengundi di dalam Mesyuarat Agung Perwakilan, Mesyuarat Khas atau Mesyuarat-mesyuarat Agung di peringkat Cawangan dan boleh dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa Cawangan. Lima orang perwakilan daripada Ahli Seumur Hidup dipilih untuk menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan.

Ahli Tak Hadir

  • Ahli biasa yang perlu berada di luar negeri bagi sesuatu tempoh tidak kurang daripada 6 bulan, adalah dikecualikan daripada membayar yuran tahunan bagi tempoh ia berada di luar negeri.
  • Permohonan secara bertulis hendaklah dibuat kepada Bendahari Cawangan dan hendaklah mendapatkan persetujuan jawatankuasa cawangan. Bendahari hendaklah mencatatkan di dalam rekod tempoh ahli dikecualikan dari membayar yuran

Permohonan Menjadi Ahli

  • Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dibuat melalui Borang Permohonan atau secara on-line dan dihantar kepada Setiausaha CawanganKementerian yang seterusnya akan mengemukakan permohonan tersebut dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa Cawangan tertentu untuk pertimbangan.
  • Jawatankuasa cawangan boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.
  • Permohonan menjadi Ahli Seumur Hidup hendaklah berurusan terus dengan Setiausaha Agung Puspanita Kebangsaan.

Larangan Menjadi Ahli

  • Seseorang pemohon yang layak menjadi ahli mengikut syarat di atas tetapi masih menjadi seorang pelajar universiti/kolej tempatan, tidak boleh diterima menjadi ahli Persatuan kecuali mendapat kebenaran secara bertulis daripada Naib Canselor Universiti atau Pengetua Kolej berkenaan.
  • Keahlian akan luput apabila suami seseorang ahli itu ataupun ahli sendiri berhenti atau diberhentikan daripada berkhidmat dengan Kerajaan.
  • Keahlian isteri anggota perkhidmatan awam yang meninggal dunia atau yang bercerai akan luput setelah ia berkahwin semula

Yuran Keahlian

Mesyuarat Agung Perwakilan Kali Ke-18 pada 22 Julai 2000 telah memutuskan yuran tahunan Ahli-ahli PUSPANITA dinaikkan sebanyak 100% seperti berikut :-

Bil. Kumpulan Yuran Tahunan Yuran Masuk
Kadar Lama (RM) Kadar Baru (RM)
i. Isteri pegawai dan pegawai wanita di dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi. 15.00 30.00 20.00
ii. Isteri pegawai dan Pegawai wanita di dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional. 8.00 16.00
iii. Isteri pegawai dan pegawai wanita di dalam Kumpulan Sokongan I 5.00 10.00 10.00
iv. Isteri pegawai dan pegawai wanita di dalam Kumpulan Sokongan II 2.00 4.00 2.00
v Ahli Seumur Hidup 100.00 Kekal
  • Semua yuran hendaklah dibayar pada awal tahun melalui Bendahari Cawangan.
  • Ahli-ahli yang tidak membayar yuran tahunan lebih daripada 3 tahun berturut-turut akan dihantar surat peringatan daripada atau bagi pihak Setiausaha. Jika tidak dibayar juga, maka hilanglah hak-hak keistimewaan sebagai seorang ahli sehingga hutangnya dibayar.
  • Ahli yang berhutang yuran tahunannya melebihi 5 tahun berturut-turut akan dengan sendirinya gugur daripada menjadi ahli.