Perutusan Penaung AKRAB KKLW

Dato' Mohd Arif bin Ab Rahman

Dato’ Mohd Arif bin Ab Rahman

 

Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kesyukuran ke Hadrat Ilahi di atas penghasilan Prosedur Kerja AKRAB KKLW ini. Prosedur ini bertujuan menjelaskan tentang senarai tugas, proses kerja dan aliran kerja AKRAB KKLW secara terperinci.

Ia juga merupakan salah satu usaha bagi memantapkan pelaksanaan aktiviti AKRAB di peringkat kementarian, jabatan dan agensi di bawah KKLW. Kandungan buku prosedir kerja ini dapat dijadikan panduan kepada semua AKRAB KKLW dalam melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan.

Kita sedar bahawa dalam melaksanakan tugas untuk membimbing dan bantu-membantu pastinya ia akan melibatkan masa dan menambah tanggungjawab yang sedia ada. Sungguhpun demikian, saya percaya usaha membimbing dan membangunkan potensi rakan sekerja lain merupakan satu usaha yang amat murni. Ia seharusnya menjadi amalan baik dan diamalkan dengan meluas dalam sesebuah organisasi.

Harapan saya agar buku ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli AKRAB terutamanya jawatankuasa di peringkat kementerian, jabatan dan agensi KKLW untuk menggerakkan pelaksanaan tugas AKRAB. Semoga amanah yang telah diberikan akan dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang.

Selamat Maju Jaya

YBhg. Dato’ Mohd Arif bin Ab Rahman
Ketua Setiausaha
Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah

Pengenalan

Rakan pembimbing perkhidmatan awam atau AKRAB merupakan nama khusus bagi rakan sekerja yang dilantik sebagai pembimbing rakan sekerja sepertimana yang dikehendaki dalam pekeliling perkhidmatan bilangan 18 tahun 2005, panduan aplikasi psikologi dalam pengurusan sumber manusia sektor awam. AKRAB merupakan agen penggerak kepada pelaksanaan budaya kerja berprestasi tinggi dalam perkhidmatan awam. Ia diwujudkan dengan objektif bagi menyediakan medium perantaraan untuk memberi peluang pegawai berfungsi secara efektif dan menjadi penyumbang kepada usaha pembangunan modal insan dalam pengurusan sumber manusia di kementerian, jabatan dan agensi.

AKRAB membawa maksud amanah, komitmen, rasional, akhlak dan bestari yang merupakan ciri terpenting yang perlu ada pada seorang rakan pembimbing. AKRAB juga merupakan penjenamaan semula versi rakan pembimbing, pembimbing rakan sekerja, pegawai khidmat nasihat, pegawai khidmat kaunseling dan pelbagai nama yang merujuk kepada peranan sebagai rakan pembimbing di kementerian, jabatan dan agensi. Ini bermakna, di dalam perkhidmatan awam, rakan sekerja yang memainkan peranan sebagai rakan pembimbing keseluruhannya hanya akan dikenali sebagai AKRAB.

Program bimbingan AKRAB berkonsepkan rakan membantu rakan berteraskan asas kaunseling profesional. Pengalaman di semua peringkat organisasi dapat mewujudkan keharmonian, keakraban, saling hormat menghormati, mengenali potensi diri serta mewujudkan budaya kerja yang cemerlang.

Justeru itu, diharap AKRAB dapat bergerak dan bertindak sebagai agen transformasi kepada kelestarian sahsiah penjawat awam baik dari sudut peribadi, sosial, mahupun profesional.

Maklumat Korporat AKRAB

Visi

Menjadikan AKRAB penggerak Budaya Kerja Kelas Pertama dalam organisasi.

Misi

  • Melaksanakan aktiviti khidmat membimbing kepada warga organisasi;
  • Membantu pegawai yang memerlukan bantuan dalam menghadapi permasalahan dalam kehidupan;
  • Berperanan sebagai perantara kepada pegawai dengan Pegawai Psikologi dalam membuat saringan kesesuaian masalah ; dan.
  • Mewujudkan hubungan baik dengan pihak pengurusan sumber manusia bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti AKRAB.

Objektif

Menyediakan perkhidmatan membimbing bagi membantu rakan sekerja meningkatkan potensi dan kecemerlangan.

Motto

“Berkhidmat Membimbing”

Falsafah

“Bantu Diri Untuk Membantu Rakan Lain”

Prinsip

Bersedia dan rela membantu rakan yang memerlukan bantuan tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan, perlakuan dan fizikal.

Peranan

  • Menjadi ahli yang berketrampilan dan berakhlak mulia;
  • Mengukuhkan nilai diri yang positif;
  • Meningkat dan memantapkan ilmu dan kemahiran secara berterusan;
  • Menjadi role model dikalangan rakan sekerja;
  • Menjadi rakan yang peka kepada perasaan orang lain dan keadaan sekeliling;
  • Memberi sokongan kepada perubahan yang lebih baik;
  • Sumber kepada rakan untuk berkongsi permasalahan;
  • Memperkuatkan semangat rakan yang ingin berubah; dan
  • Meningkatkan jalinan kerjasama dengan ahli AKRAB KKLW atau kementerian/agensi lain.

Etika

  • Amanah dan menyimpan rahsia.
  • Menerima dan menghormati orang lain.
  • Memahami batasan dan keupayaan diri.
  • Sentiasa berusaha mempertingkatkan kemahiran daripada pelbagai aspek.
  • Melaporkan kepada kaunselor tentang kes yang boleh merosakkan diri dan orang lain.
  • Merujuk kes/permasalahan yang rumit kepada pegawai psikologi; dan.
  • Memahami peraturan dan etika perkhidmatan awam.

Senarai Tugas

  1. Melaksanakan penilaian keperluan rawatan rakan sekerja berisiko yang memerlukan bantuan.
  2. Melaksanakan bimbingan individu atau kelompok kepada rakan sekerja yang dirujuk.
  3. Melaksanakan bimbingan individu atau kelompok kepada rakan sekerja yang datang secara sukarela.

Klik di [sini] untuk maklumat lanjut