Jalan Luar Bandar

 

Jalan Kampung

Program Menaik Taraf Dan Senggaraan Jalan Kampung (PJK) Melalui Jabatan Kerja Raya (JKR)



Latar Belakang

Mulai Jun 2004, pelaksanaan Projek Jalan Kampung (PJK) adalah melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana. Kaedah pelaksanaan ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Mei 2004. Pelaksanaan PJK melalui JKR adalah lanjutan dari siri kaedah yang digunapakai sebelum ini, iaitu melalui Pejabat Daerah (1981 – 1996) Kaedah Payong (1997 – 2000 ), Kaedah Bersepadu (2001 – 2002) dan Kaedah Alternatif (2003).

Jalan Wawasan 1,2,3 dan 4 Kg. Melayu, Gelang Patah
    Jalan Kampung            Jalan Kampung
Sedang Dalam Pembinaan                       Sudah Siap

Skop Program PJK

Mulai Rancangan Malaysia Ke Lapan (RMKe8), skop pelaksanaan PJK diperluaskan kepada dua komponen iaitu:-

(a) Naik Taraf

  • Membina jalan baru supaya jajaran jalan kampung dapat memberi faedah penggunaan yang maksimum;
  • Menaikkan taraf jalan yang sedia ada tanpa mengubah jajaran atau dengan perubahan jajaran; dan
  • Membina/menaik taraf jalan-jalan kampung di kawasan LKW/LKT tetapi tidak termasuk Jalan Ladang.

Turap semula jalan utama Kampung Pulai
Jalan Tar    Jalan Tar
Sedang Dalam Pembinaan                 Sudah Siap

(b) Senggaraan Jalan

  • Pembaikan ke atas ubin jalan;
  • Pembaikan ke atas bahu jalan, longkang, pembentung/culvert dan perabot jalan; dan
  • Menurap semula permukaan jalan.

Jalan Kampung Pertanian Kulai ( dari lorong 4 hingga 6)
Jalan Kampung      Jalan Tar
Sedang Dalam Pembinaan                     Sudah Siap

 

Kriteria Pemilihan Projek

  • Pemilihan projek jalan kampung hendaklah memenuhi kriteria WAJIB iaitu:- Jalan-jalan kampung di kawasan luar bandar, dan yang terletak dalam kawasan bandar, kawasan Pihak Berkuasa Tempatan tetapi terhad kepada di luar kawasan operasi PBT/kawasan yang dikenakan cukai harta PBT kecuali negeri-negeri miskin. Kawasan perumahan / penempatan yang diusahakan oleh Badan Berkanun dan swasta tidak layak dipertimbangkan Jalan Kampung.

Dan salah satu kriteria di bawah:-

  • Jalan-jalan yang dibina/dinaik taraf memberi manfaat kepada lebih dari 100 pengguna di kawasan sekitarnya;
  • Jalan yang memberi kemudahan perhubungan kepada pusat-pusat Kesihatan/Klinik, sekolah , masjid/surau, pasar, pusat-pusat riadah dan kemudahan awam yang lain;
  • Jalan yang menyambungkan di antara sebuah kampung dengan kampung lain dan/atau menghubungkan dengan jalan besar; dan
  • Jalan kampung yang menghubungkan pekan kecil, pusat kegiatan ekonomi, perniagaan, pusat industri kecil, pusat pertumbuhan desa.
    • Sebarang pengecualian dari kriteria pemilihan di atas mestilah mendapat kelulusan KKLW.
    • Projek yang tidak menepati skop kriteria TIDAK BOLEH DISENARAIKAN. Di antara contoh-contoh adalah seperti berikut:-
  • Jalan menuju ke sesebuah rumah;
  • Jalan ke kebun individu;
  • Dataran kejat (Hard Stand); dan
  • Jalan-jalan yang menjadi laluan utama kenderaan berat seperti lori balak, lori kelapa sawit.

            Menaik taraf Jalan Dalam Taman Wakaf Perkuburan Islam, Kampung Melayu, Saleng         
  Jalan Turap                  Jalan Turap
Sedang Dalam Pembinaan                          Sudah Siap

Kaedah Pelaksanaan

  • KKLW akan mengemukakan senarai projek Jalan Kampung kepada JKR untuk pelaksanaan berserta waran peruntukan dan menyalinkan sama maklumat kepada PPN / JPP: dan
  • Kerja-kerja pembinaan jalan-jalan kampung hendaklah ditawarkan kepada kontraktor yang berkelayakan dikalangan kontraktor kelas F – D yang layak dan had-had nilai kerja yang ditetapkan.

 Urusan Perolehan (Pelantikan Kontraktor Pelaksana)

  • Pelantikan Kontraktor Pelaksana (dari Kelas ‘F' hingga ‘D') bagi melaksanakan projek boleh dibuat oleh JKR melalui kaedah Perolehan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan yang berkuatkuasa, di antaranya Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil 2/2001 (tambahan pertama SPP Bil. 2/1999) .
  • Lokasi projek yang ditawarkan kepada kontraktor adalah mengikut daerah seperti yang dinyatakan di lesen (Kelas F).

Fungsi dan Tanggungjawab Jabatan Kerja Raya

Tugas-tugas dan tanggungjawab yang perlu dijalankan oleh JKR adalah seperti di dalam senarai di bawah ini. Walau bagaimana, senarai ini tidak boleh dianggap muktamad ianya boleh ditambah atau dikurangkan mengikut kesesuian projek.

 

  • Memaklumkan Pemimpin Tempatan iaitu YB. Ahli Parlimen / YB. ADUN / Penghulu / KPPM) dan seterusnya kepada Pengerusi JKKK apabila sesuatu projek hendak dilaksanakan berserta nama kontraktor yang dilantik.
  • Membuat lawatan tapak dan semakan ke atas senarai projek yang telah diluluskan oleh Kementerian bagi memastikan projek tersebut memenuhi skop dan kriteria projek PJK sebagaimana yang dinyatakan di para 3 dan 4 di atas;
  • Memaklumkan kepada Kementerian dan PPN/JPP sekiranya terdapat projek yang diluluskan itu tidak menepati skop dan kriteria di atas;
  • Mengadakan pertemuan / perbincangan dengan pihak berkuasa termasuk PPN/JPP dan pemimpin-pemimpin tempatan seperti Pegawai Daerah, Ahli-ahli Yang Berhormat, Penghulu, JKKK dan sebagainya dari masa ke semasa berhubung pelaksanaan projek;
  • Menyediakan semua dokumentasi kontrak berasaskan Bill of Quantities, pelan terperinci, program-program dan dokumen-dokumen berkaitan;
  • Menjalankan siasatan dan menyediakan anggaran harga bagi setiap jalan untuk tujuan pelantikan kontraktor;
  • Menjalankan siasatan kejuruteraan, geologi dan hydrologi di mana perlu apabila diarahkan untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul semasa pelaksanaan projek;
  • Mengawasi kerja-kerja kontraktor supaya menepati mutu, syarat-syarat kontrak, ketepatan dengan objektif dan garispanduan program PJK keseluruhannya dan bertanggungjawab ke atas tugas-tugas penyelarasan (coordination) aktiviti-aktiviti pembinaan dengan agensi-agensi berkuasa yang lain jika diperlukan;
  • Memeriksa dan mengesahkan kerja-kerja yang telah dijalankan oleh kontraktor;
  • Menyediakan daftar inventori jalan, lengkap dengan maklumat-maklumat dan pelan-pelan untuk tujuan penyimpanan rekod dan merancang masa hadapan bagi pihak Kerajaan;
  • Merancang mekanisma untuk menomborkan jalan-jalan (road numbering system) selari dengan sistem yang telah diwujudkan oleh JKR; dan
  • Menyedia dan mengemukakan laporan kemajuan fizikal dan prestasi perbelanjaan bagi setiap projek kepada Pejabat Daerah/PPN/JPP dan KKLW sebulan sekali atau pada bila-bila masa yang akan ditetapkan.

Peranan Penghulu

Peranan Penghulu adalah seperti berikut:-

 

  • Memastikan permohonan projek PJK mengikut garispanduandan skop PJK;
  • Mengemukakan permohonan cadangan PJK kepada Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) mengikut susunan keutamaan dan kampung-kampung tumpuan;
  • Membantu JKR mengatasi isu / masalah pelaksanaan, seperti izin lalu, jajaran dan lain-lain isu yang menyebabkan kelewatan pembinaan; dan
  • Aduan (complaint ) pelaksanaan projek jika dibangkitkan.

Peranan Pejabat Daerah

Peranan Pejabat Daerah adalah penting dalam menentukan:-

 

  • Menapis dan menyelaras cadangan projek PJK supaya diselaras dengan skop dan garispanduan;
  • Menentukan keutamaan projek dan kampung yang perlu diberi tumpuan;
  • Menimbangkan dan memperakukan PJK yang tidak diliputi melalui permohonan dari Penghulu, YB. Ahli Parlimen / YB. ADUN dari masa kesemasa dan didapati amat perlu dilaksanakan segera: dan
  • Mengemukakan aduan / masalah pelaksanaan PJK jika diperlukan.

Peranan PPN/JPP

Di antara peranan dan tanggungjawab agensi-agensi berkenaan adalah seperti berikut:-

  • Menyelaras dan menentukan keutamaan projek-projek di peringkat daerah dan negeri yang diterima dari pelbagai sumber dan mengemukakan untuk kelulusan KKLW; dan
  • Mengemukakan sebarang maklumat dan aduan mengenai pelaksanaan PJK kepada KKLW untuk tindakan susulan.

Peranan dan Tanggungjawab KKLW

Sebagai Kementerian yang diamanah bagi pelaksanaan program ini, adalah menjadi tanggungjawab KKLW untuk memastikan jalan-jalan kampung yang dibina ini bermutu dan tahan lama untuk keselesaan penduduk luar Bandar. Secara spesifik tanggungjawab KKLW adalah seperti berikut:-

  • Memproses dan meluluskan permohonan projek-projek PJK atau dari permohonan terus yang diterima dari pelbagai pihak;
  • Menimbang dan meluluskan pertukaran projek setelah mendapat perakuan dari Pejabat Pembangunan Negeri/ JKR setelah Kementerian berpuas hati projek baru yang di cadang itu menepati skop dan kriteria projek PJK; dan
  • Membuat pembatalan ke atas projek yang diluluskan setelah diperakukan oleh Pejabat Pembangunan Negeri atau JKR. Kementerian berpuas hati ada sebab yang munasabah untuk membatalkan projek;
  • Membuat lawatan dan pemeriksaan projek secara berkala pada bila-bila masa;
  • Membantu menyelesaikan sebarang masalah yang timbul atau dibangkitkan oleh pelbagai pihak berhubung dengan pelaksanaan projek;
  • KKLW boleh melantik agensi-agensi di bawahnya untuk melaksanakan projek jika difikirkan perlu;
  • Mengemukakan laporan prestasi dan berkaitan kepada jawatankuasa-jawatankuasa tertinggi negara; dan
  • Lain-lain tugas yang berkaitan dengan pelaksanaan projek.