SOALAN LAZIM

Program Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED)
  1. Apakah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED)?
SPED merupakan program pembiayaan berkonsepkan patuh syariah yang hanya dibuka kepada usahawan Bumiputera yang beroperasi di premis luar bandar sahaja.
 
  1. Apakah sektor perniagaan yang dibolehkan untuk memohon SPED?
Sektor yang dibolehkan adalah perkhidmatan, pembuatan, pertanian dan pelancongan.
  1. Apakah had dan tempoh pembiayaan SPED?
Had pembiayaan SPED adalah RM20,000 hingga RM250,000 bagi pembiayaan pertama. Pembiayaan dibenarkan tidak melebihi tiga kali dengan jumlah keseluruhan pembiayaan maksimum sebanyak RM500,000. Tempoh pembiayaan SPED adalah selama 5 tahun dengan kadar faedah serendah 5%.
 
  1. Apakah keistimewaan SPED?
Pemberian 30% Geran Kerajaan untuk pembiayaan RM250,000 ke bawah sahaja. Bagi pembiayaaan kali kedua dan ketiga tetapi jumlah nilai pembiayaan keseluruhan tidak melebihi RM250,000 masih layak diberikan geran 30%.
 
  1. Apakah syarat-syarat permohonan SPED?
    • Bumiputera – Melayu, Orang Asli Semenanjung dan Masyarakat Pribumi Sabah/Sarawak sahaja.
    • Berumur 18 hingga 60 tahun sewaktu permohonan
    • Melengkapkan borang permohonan dan kertas kerja rancangan perniagaan. Borang boleh didapati melalui laman sesawang KKDW atau melalui Bank Pelaksana SPED iaitu mana-mana cawangan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) atau Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) yang berdekatan.
    • Mempunyai premis yang beroperasi dan beralamat di bawah Parlimen Luar Bandar
    • Perniagaan beroperasi sekurang-kurangnya setahun
    • Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Semenanjung Malaysia / Ordinan Perniagaan di Sabah dan Sarawak
    • Mempunyai lesen perniagaan daripada PBT/ Pengesahan Di Luart Kawasan Seliaan oleh PBT/ lain-lain peraturan pihak berkuasa yang berkaitan
    • Firma/ Syarikat Sdn.Bhd/ PLT/Pemilik Tunggal
    • Pembiayaan Tidak melebihi RM500,000
    • Tidak disenarai hitam oleh mana-mana institusi kewangan
    • Rekod CCRIS dan CTOS yang baik
    • Penyata bank firma/syarikat untuk tempoh 6 bulan terkini
 
  1. Berapakah tempoh masa yang diambil bagi menilai permohonan SPED dan berapakah masa yang diambil oleh pemohon SPED untuk memperoleh wang pinjaman dari tempoh permohonan dibuat?
Tempoh masa yang diambil bagi memproses permohonan SPED adalah selama 25 hari bergantung kepada maklumat lengkap yang dikemukakan oleh pemohon. Pada amnya tempoh masa dan prosedur yang terlibat adalah seperti berikut:-
  • Selepas permohonan diterima daripada Bank Pelaksana, kelulusan dalam tempoh 15 hari;
  • Permohonan yang berjaya dikehendaki menandatangani perjanjian dengan pihak Bank Pelaksana; dan
  • Pengeluaran wang pembiayaan dibayar terus oleh Bank Pelaksana kepada pembekal.
  1. Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan maklumat tentang SPED?
Pihak tuan/puan boleh sama ada:-
  • Melayari laman web Kementerian dan mendapatkan maklumat berhubung SPED di bawah menu Usahawan”; atau
  • Menulis terus kepada Kementerian dan pihak Kementerian akan mengemukakan borang dan penjelasan berhubung SPED; atau
  • Menghubungi terus Bank Pelaksana SPED iaitu mana-mana cawangan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) atau Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) yang berdekatan.
Sekiranya pihak tuan/puan menghadapi apa-apa masalah, boleh berhubung terus dengan pihak Kementerian di talian 03-8891 5602.
Program Rural Business Outlet (RBO@KKDW)
  1. Apakah Program Rural Business Outlet (RBO@KPLB)?
Rural Business Outlet (RBO@KPLB) adalah sebuah outlet berkonsepkan pusat sehenti yang memasarkan produk-produk usahawan desa yang terpilih.  RBO@KPLB menyediakan platform pemasaran kepada produk usahawan bimbingan KPLB yang berpotensi.  Selain itu, program ini juga membantu untuk menyediakan platform promosi produk usahawan desa di pasaran komersil.
  1. Apakah objektif Program Rural Business Outlet (RBO@KPLB)?
Objektif Program RBO@KKDW termasuklah:
  • Menyediakan platform jualan yang tetap kepada usahawan terpilih;
  • Mempromosikan produk usahawan desa ke peringkat nasional;
  • Membantu usahawan untuk memajukan perusahaan dan meningkatkan hasil jualan produk keluaran usahawan desa;
  • Menyediakan peluang kerja kepada warga tempatan secara tidak langsung dengan pertambahan pengeluaran produk;
  • Membantu usahawan mengenalpasti potensi produk keluaran mereka dengan adanya bimbingan lanjutan dari program ini; dan
  • Membantu meningkatkan pendapatan usahawan desa.
  1. Sejak bilakah Program Rural Business Outlet (RBO@KKDW) dilaksanakan?
Program Rural Business Outlet (RBO@KKDW) mula dilaksanakan pada tahun 2020.
  1. Bagaimana cara untuk saya mendaftar menjadi ahli Program Rural Business Outlet (RBO@KKDW)?
Usahawan yang berminat untuk memasukkan produk di RBO@KKDW boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Usahawan Desa di talian 03-8891 5600/5606 atau berhubung terus ke Agensi di bawah KKDW iaitu MARA, RISDA, JAKOA, KEMAS, FELCRA, KEDA, PERDA, KESEDAR, KETENGAH dan KEJORA.
  1. Apakah syarat-syarat produk untuk menyertai Program Rural Business Outlet (RBO@KKDW)?
Antara syarat-syarat produk untuk menyertai Program Rural Business Outlet (RBO@KKDW) adalah:
  • Merupakan produk buatan Malaysia; dan
  • Produk yang mempunyai sijil HALAL, MESTI, GMP dan HACCP akan diberi keutamaan.
  1. Dimanakah lokasi outlet Program Rural Business Outlet (RBO@KKDW)?
Lokasi pertama outlet Program Rural Business Outlet (RBO@KKDW) adalah di Anggerik Mall, Shah Alam, Selangor yang dijangka beroperasi pada bulan Oktober 2020.  Kementerian sedang dalam perancangan untuk menubuhkan outlet seterusnya di seluruh negara.
  1. Apakah syarat usahawan/syarikat untuk menyertai Program Rural Business Outlet (RBO@KKDW)?
Usahawan perlu menepati syarat-syarat program dan perlu mengemukakan nama kepada Agensi untuk ditawarkan menyertai sesi Product Pitching. Antara syarat-syarat usahawan/syarikat yang layak adalah:
  • Merupakan usahawan yang mempunyai alamat perniagaan di kawasan parlimen luar bandar yang  bernaung di bawah KKDW dan/ atau agensi KKDW iaitu MARA, RISDA, JAKOA, KEMAS, FELCRA, KEDA, PERDA, KESEDAR, KETENGAH dan KEJORA;
  • Merupakan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia;
  • Merupakan entiti perniagaan yang aktif dan telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun dari tarikh permohonan
Rural Premium Gateway (RPG@KKDW)
  1. Apakah Program Rural Premium Gateway (RPG@KKDW)?
Program RPG@KKDW merupakan satu program pemasaran dan pengkomersilan produk-produk usahawan luar bandar yang berpotensi di platform-platform premium seperti lapangan terbang antarabangsa di Malaysia.
  1. Apakah objektif Program RPG@KKDW?
Objektif Program RPG@KKDW adalah:
  1. Bertujuan supaya produk usahawan luar bandar dapat dipasarkan di platform premium terpilih dalam negara; dan
  2. Membantu meningkatkan kapasiti produk yang berpotensi supaya dapat mencapai tahap piawaian yang ditetapkan oleh platform premium berkenaan.
  1. Apakah kriteria yang melayakkan usahawan untuk memohon menyertai Program RPG@KKDW?
Program RPG@KKDW adalah terbuka kepada usahawan luar bandar yang berdaftar dengan KKDW dan/atau Agensi KKDW.
  1. Di manakah platform premium bagi Program RPG@KKDW?
Buat masa kini, platform premium bagi Program RPG@KKDW adalah outlet Sense of Malaysia (SOM) di enam (6) buah lapangan terbang antarabangsa di Malaysia.
  1. Bilakah outlet Sense of Malaysia (SOM) dijangka akan mula beroperasi?
Outlet SOM akan mula beroperasi secara berperingkat, bermula pada akhir tahun 2020.
  1. Apakah proses yang perlu dilalui oleh usahawan untuk menyertai Program RPG@KKDW?
Pemilihan usahawan yang akan diterima untuk menyertai program RPG@KKDW ini adalah bergantung kepada proses penilaian melalui Sesi Product Pitching yang dikendalikan oleh KKDW dengan kerjasama Agensi Pelaksana, Pemilik Platform dan Pemudahcara.
  1. Apakah komponen Program RPG@KKDW yang menggunapakai platform SOM?
Komponen Program RPG@KKDW menggunapakai platform SOM adalah seperti berikut:
  1. Airport Retail Seminar;
  2. Konsultansi rekabentuk dan penjenamaan untuk produk yang terpilih;
  3. Pembangunan penjenamaan dan penghasilan pembungkusan produk yang dipasarkan;
  4. Penyewaan tapak di outlet jualan SOM; dan
  5. Promosi dan pengiklanan.
  1. Adakah peserta yang terpilih akan menandatangai sebarang kontrak penyewaan outlet bersama KKDW atau pemilik platform?
Ya. Peserta program ini perlu menandatangai kontrak penyewaan outlet bersama dengan pemilik platform premium berkenaan.
Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB)
  1. Apakah Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB)?
Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar merupakan pemberian geran padanan 70:30 yang dikendalikan oleh Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi masyarakat luar bandar melalui program keusahawanan.
  1. Apakah objektif Program SPKLB?
Objektif Program SPKLB adalah:
  1. Menyediakan geran padanan kepada usahawan bagi menampung kos operasi dan keperluan modal pusingan bagi meneruskan kelangsungan perniagaan;
  2. Menyediakan latihan, kursus dan coaching bersesuaian sebagai platform kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan; dan
  3. Menggalakkan usahawan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang bernilai tinggi bagi meluaskan pasaran.
  1. Apakah kriteria yang melayakkan usahawan untuk memohon Program SPKLB?
Program SPKLB adalah terbuka kepada usahawan luar bandar yang memenuhi syarat serta komited ingin mengembangkan perniagaan. Antara syaratnya ialah:
  • Warganegara Malaysia;
  • Berumur 21 tahun dan ke atas;
  • Permohonan terdiri daripada milikan tunggal, perkongsian atau syarikat sendirian berhad;
  • Pemohon tidak disenaraihitam oleh mana-mana institusi kewangan/KKDW;
  • Perniagaan telah beroperasi sekurang-kurangnya satu (1) tahun dan menjalankan perniagaan sepenuh masa;
  • Perniagaan beroperasi dan mempunyai alamat berdaftar di luar bandar;
  • Merupakan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Ordinan Perniagaan di Sabah & Sarawak;
  • Mempunyai lesen berniaga iaitu kebenaran menjalankan perniagaan daripada Pihak Berkuatkuasa Tempatan (PBT) atau pengesahan di Luar Kawasan Seliaan oleh PBT atau lain-lain peraturan pihak berkuasa berkaitan;
  • Memiliki premis perniagaan yang bersesuaian;
  • Jumlah pendapatan tahunan kurang RM200,000.00;
  • Pemohon yang telah mendapat bantuan geran atau bantuan daripada Kementerian seperti geran Program Rural Business Challenge (RBC) tidak layak lagi memohon geran SPKLB. Bagi pemohon yang telah mendapat bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP), pemohon layak untuk memohon geran SPKLB selepas setahun mendapat bantuan tersebut.
  1. Apakah proses yang perlu dilalui oleh usahawan untuk memohon SPKLB?
Usahawan yang memenuhi syarat kelayakan perlu mengisi borang permohonan SPKLB dan mengemukakan borang tersebut ke pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW),MARA, FELCRA, JAKOA, RISDA atau Pejabat KPLB Negeri yang berhampiran. Borang permohonan akan diproses dan dibawa masuk ke Mesyuarat Jawatankuasa Penilai Program (JPP) untuk diberi pertimbangan kelulusan. Â
  1. Apakah skop pemberian geran SPKLB?
Geran SPKLB yang telah diterima boleh digunakan untuk perkara berikut:
  • Pembelian atau baik pulih Aset/ Mesin/ Peralatan;
  • Pengubahsuaian premis perniagaan; dan
  • Modal pusingan/ modal kerja
  1. Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai Program SPKLB?
Pihak tuan/puan boleh sama ada:-
  • Melayari laman web Kementerian dan mendapatkan maklumat berhubung SPKLB di bawah Bahagian Pembangunan Ushawan Desa; atau
  • Menulis terus kepada Kementerian dan pihak Kementerian akan mengemukakan borang dan penjelasan berhubung SPKLB; atau
  • Menghubungi Agensi KKDW atau Pejabat KKDWNegeri yang berhampiran.
Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)
  1. Apakah yang dimaksudkan dengan PPRT?
PPRT adalah program di bawah Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) yang bertujuan untuk membantu menaik taraf kehidupan golongan miskin tegar dan miskin di luar bandar dengan memberi bantuan baik pulih atau bina baru rumah supaya penerima mendapat mendiamu kediaman yang selamat, selesa dan sempurna buat keluarga mereka.
  1. Apakah objektif PPRT diwujudkan?
PPRT diwujudkan dengan objektif untuk meningkatkan kualiti hidup keluarga miskin tegar dan miskin dengan membina atau membaik pulih rumah bagi menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat dan selesa sebagai asas pertumbuhan sesebuah keluarga.
  1. Apakah skop bantuan PPRT?
Skop PPRT terbahagi kepada dua:
  • Bina baharu: bantuan diberikan kepada peserta yang tidak mempunyai rumah atau rumah yang didiami terlalu uzur, tidak selamat untuk diduduki dan tidak ekonomik untuk dibaiki; dan
  • Baik pulih: bantuan diberikan kepada peserta yang mempunyai rumah yang masih ekonomik untuk dibaiki. Skop bantuan baik pulih hanya melibatkan komponen-komponen asas sesebuah rumah seperti bumbung (kekuda dan alang), atap, siling, tangga, dapur, tandas, bilik air, pintu, lantai, dinding, lantai simen/kayu, tingkap, perpaipan, perparitan (perimeter drain/saluran keluar), pembetungan/kumbahan, titian laluan ke rumah atas air, pendawaian elektrik serta rumah tersebut masih ekonomik untuk dibaiki.
  1. Siapakah kumpulan sasar PPRT?
Kumpulan sasar PPRT adalah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar dan miskin yang ditentukan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa. Keutamaan akan diberikan kepada:
  • Warga emas (lebih 65 tahun), uzur dan orang kurang upaya;
  • Ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan ramai;
  • Mangsa bencana alam seperti ribut, taufan, banjir dan kebakaran; dan
  • Penerima bantuan perlu memiliki tanah sendiri atau mempunyai kebenaran bertulis daripada pihak berkenaan sekiranya menyewa/menumpang tanah milik orang lain/Kerajaan.
  1. Bolehkah pemohon yang tidak mempunyai tanah memohon bantuan PPRT?
Antara syarat utama pemberian bantuan PPRT selain daripada status miskin dan miskin tegar adalah pemilikan tanah atau mempunyai kebenaran bertulis daripada pihak berkenaan sekiranya menyewa/menumpang tanah milik orang lain/Kerajaan.
  1. Bolehkah pemohon yang tidak berdaftar dalam eKasih memohon bantuan PPRT?
    • Syarat kelayakan penerima bantuan PPRT adalah daripada kumpulan miskin dan miskin tegar di luar bandar.
    • Penerima bantuan perlu sama ada:
      • disahkan sebagai miskin tegar atau miskin dan berdaftar dalam Bank Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih); atau
      • diperaku dan disahkan layak oleh Mesyuarat Focus Group Pembasmian Kemiskinan Peringkat Daerah (FGD) atau Negeri (FGN) atau jawatankuasa yang setara dengannya di peringkat negeri; atau
      • diperaku oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam program pembasmian kemiskinan; atau
      • diperaku oleh jawatankuasa di peringkat Kementerian
    • Bagi pemohon yang tiada dalam senarai eKasih, permohonan berkenaan masih boleh dipertimbangkan dalam jawatankuasa di peringkat Kementerian.
  1. Apakah reka bentuk rumah PPRT?
Rumah PPRT Bina Baharu mempunyai dua jenis reka bentuk iaitu rumah tiga bilik dan rumah panjang. Pembinaan rumah adalah jenis batu-bata dan dilaksanakan mengikut kesesuaian tapak serta lokasi. Saiz dan keluasan rumah PPPT adalah:

Jenis Rumah

Saiz

Keluasan (kps)

3 bilik (batu-bata) 22 x 30 kaki 660 kaki/segi
Rumah panjang 17.72 x 40.35 kaki 715 kaki/segi
Pembahagian ruang di dalam rumah terdiri daripada 3 bilik tidur, 2 bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur.
  1. Adakah rumah PPRT dibina secara berkelompok?
Rumah PPRT dibina sesebuah. Buat masa ini KPLB belum bercadang untuk melaksanakan pembinaan projek PPRT secara berkelompok.
  1. Adakah rumah PPRT boleh diwarisi?
Rumah PPRT (Bina Baharu) adalah milik peserta. Oleh itu sekiranya peserta meninggal dunia, isteri/suami, anak-anak atau waris peserta adalah berhak ke atas rumah tersebut. Walau bagaimanapun, bagi rumah PPRT yang dibina di atas tanah milik Kerajaan Negeri dan seumpamanya, pemilikan tanah selepas peserta meninggal adalah tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri.
  1. Adakah rumah PPRT boleh diubahsuai atau ditambah?
Rumah PPRT hanya boleh diubahsuai atau ditambah selepas enam (6) bulan tempoh tanggungan kecacatan (defect liability period) tamat.
  1. Bolehkah KPLB membina jalan/jambatan atau lampu jalan menghala ke rumah PPRT?
Skop pembinaan rumah PPRT Bina Baharu adalah membina rumah sahaja tidak termasuk prasarana di kawasan rumah.
  1. Sekiranya tapak rumah PPRT terletak di kawasan banjir, adakah KKDW akan menambak kawasan/tapak tersebut?
KKDW hanya membina rumah PPRT peserta sahaja. Adalah menjadi tanggungjawab peserta untuk menyediakan tapak yang sesuai untuk pembinaan rumah PPRT.
  1. Bolehkah PPRT dibina atas tanah berstatus TOL (Temporary Occupational License)?
Pembinaan rumah PPRT adalah bersifat kekal dan untuk jangka masa panjang. Oleh yang demikian, ia tidak sesuai dibina di atas tapak berstatus TOL yang mana kebenaran guna tanah adalah bersifat sementara. Namun begitu, pemohon boleh merujuk kepada Pentadbir Tanah yang berkenaan bagi mendapatkan kebenaran.
Program Peningkatan Pendapatan (PPP)
  1. Siapakah yang layak menerima PPP?
Golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40) di luar bandar.
  1. Berapakah had nilai siling bantuan PPP?
Had nilai siling bantuan adalah sebanyak RM10 ribu setiap peserta?
  1. Adakah geran bantuan PPP diberi secara tunai?
Bantuan PPP tidak diberi dalam bentuk tunai atau modal tetapi diberi dalam bentuk peralatan dan latihan yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi yang dipohon.
  1. Saya penghuni rumah PPR Taman Lok Yew. Adakah saya layak memohon bantuan PPP?
Bantuan PPP dikhususkan hanya kepada golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40) di luar bandar sahaja.
Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP)
  1. Bilakah tarikh pelaksanaan JPKK dan JPKKP?
  • Pelaksanaan JPKK dan JPKKP adalah mulai bulan Ogos 2020.
 
  1. Apakah itu Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP)?
  • Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) merupakan institusi pentadbiran yang diwujudkan di peringkat kampung. Setiap Anggota JPKK dan JPKKP merupakan individu yang dilantik untuk berkhidmat secara sukarela dan bukan berstatus sebagai Penjawat Awam. 
  1. Berapakah bilangan JPKK dan JPKKP yang ditubuhkan di seluruh negara?
  • Jumlah keseluruhan JPKK dan JPKKP yang ditubuhkan adalah sebanyak 15,434 dengan pecahan seperti berikut: i. 11,454 JPKK ditubuhkan di 10 negeri dengan bilangan mengikut negeri adalah seperti berikut:
BIL. NEGERI JUMLAH JPKK
1. Perlis 387
2. Kedah 1,025
3. Perak 829
4. Melaka 316
5. Johor 670
6. Terengganu 1,046
7. Pahang 542
8. WP Labuan 27
9. Sarawak 5,976
10. Kelantan 636
JUMLAH 11,454
Data sehingga Ogos 2020   ii. 3,980 JPKKP akan ditubuhkan di 4 negeri dengan bilangan mengikut negeri adalah seperti berikut: 
BIL. NEGERI JUMLAH JPKKP
1. Pulau Pinang 363
2. Selangor 371
3. Negeri Sembilan 393
4. Sabah 2,853
JUMLAH 3,980
Data sehingga Ogos 2020
  1. Apakah perbezaan antara JPKK dan JPKKP?
  •  Perbezaan JPKK dan JPKKP adalah dari segi: 
BIL. PERKARA JPKK JPKKP
1. Negeri yang terlibat Negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri bukan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan
2. Pihak Berkuasa Melantik (PBM) Kerajaan Negeri YB Menteri Pembangunan Luar Bandar
3. Pihak Pembayar Elaun Kerajaan Negeri Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri
 
  1. Apakah struktur keanggotaan JPKK dan JPKKP?
  • Struktur JPKK dan JPKKP adalah sama di semua negeri. Setiap JPKK dan JPKKP akan dianggotai oleh seorang Pengerusi, seorang Setiausaha dan 11 orang ahli jawatankuasa.
  1. Apakah fungsi JPKK dan JPKKP?
  •  Fungsi JPKK dan JPKKP adalah seperti berikut: 
      • membantu Kerajaan Persekutuan dalam penyediaan perancangan dan pelaksanaan pembangunan di peringkat kampung;
      • menyalurkan maklumat keperluan pembangunan masyarakat kampung kepada Kerajaan Persekutuan;
      • menyampaikan maklumat program Kerajaan Persekutuan dan menggalakkan penglibatan masyarakat; dan
      • menyebar luas maklumat dan memberi penjelasan berkaitan dasar-dasar Kerajaan Persekutuan di peringkat akar umbi.
  1. Apakah syarat-syarat pelantikan anggota JPKK dan JPKKP?
  •  Syarat – syarat pelantikan anggota JPKK dan JPKKP adalah seperti berikut:
    • Warganegara Malaysia.
    • Berumur di antara 21 hingga 65 tahun manakala bagi Pengerusi hendaklah berumur 40 tahun dan ke atas.
    • Penduduk tetap di kampung yang dipohon jawatan.
    • Tahap pendidikan sekurang-kurangnya SPM atau setaraf.
    • Tidak muflis.
    • Tiada rekod sabitan kes jenayah.
    • Sihat mental dan fizikal.
    • Bebas daripada penyalahgunaan dadah.
    • Aliran pemikiran dan daya kepimpinan dapat diterima oleh masyarakat setempat dan pemimpin tempatan.
    • Mengamalkan nilai integriti dan kepimpinan berwibawa.
    • Keanggotaan sekurang-kurangnya 30% wanita.
    • Keanggotaan sekurang-kurangnya terdiri daripada seorang belia.
    • Tiada pertalian keluarga (anak beranak, suami isteri, adik beradik) di antara Pengerusi dan Setiausaha dalam satu-satu JPKK / JPKKP.
    • Syarat tambahan lain selain di atas yang ditetapkan dari semasa ke semasa oleh PBM.
  1. Berapa lamakah tempoh anggota JPKK dan JPKKP memegang jawatan?
  •  Anggota JPKK dan JPKKP akan memegang jawatan mereka selama 1 penggal iaitu bersamaan 2 tahun.
  1. Berapakah kadar elaun yang akan diterima oleh anggota JPKK dan JPKKP?
BIL. JENIS ELAUN KADAR
1. Pengerusi RM500 sebulan (12 kali setahun)
2. Setiausaha RM300 sebulan (12 kali setahun)
3. Pengendalian Mesyuarat RM100 setiap mesyuarat (terhad kepada 6 kali tuntutan mesyuarat setahun)
4. Kehadiran Mesyuarat RM50 setiap mesyuarat (bagi setiap Ahli Jawatankuasa sahaja dan terhad kepada 6 kali tuntutan mesyuarat setahun)
  1. Adakah anggota JPKK dan JPKKP boleh membuat pengesahan dokumen?
  •  Hanya Pengerusi JPKK dan JPKKP sahaja yang dibenarkan untuk membuat pengesahan dokumen bagi urusan yang melibatkan agensi Kerajaan Persekutuan.
  1. Apakah Petunjuk Utama Prestasi (KPI) JPKK dan JPKKP?
  •  Petunjuk Utama Prestasi yang perlu dicapai oleh JPKK dan JPKKP adalah seperti berikut:
    • 30% wanita dalam keanggotaan JPKK dan JPKKP;
    • 6 kali mesyuarat setahun;
    • Aktiviti anjuran JPKK dan JPKKP 5 kali setahun:
    • 1 buku Profil Kampung untuk setiap penggal; dan
    • 1 Pelan Tindakan Kemajuan Kampung (PTKK) untuk setiap penggal.
  1. Adakah anggota JPKK dan JPKKP boleh ditamatkan perkhidmatan dan apakah syarat-syarat penamatan perkhidmatan tersebut?
  •  Anggota JPKK dan JPKKP boleh ditamatkan perkhidmatan sekiranya melanggar salah satu atau lebih sebab-sebab berikut:
    • melanggar mana-mana syarat pelantikan;
    • tidak berupaya untuk menjalankan tugas dan diperakukan oleh pengamal perubatan Kerajaan;
    • tidak mencapai prestasi yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Melantik atau tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama;
    • mencemar nama baik JPKK / JPKKP atau kerajaan; atau
    • lain-lain sebab yang difikirkan wajar oleh Pihak Berkuasa Melantik.