Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC)

 

Pengenalan

Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) merupakan satu tempat yang melaksanakan inisiatif-inisiatif RTC secara bersepadu yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah National Blue Ocean Strategy 4 (NBOS4). Kesemua inisiatif ini akan dilaksanakan di RTC dan kawasan 100km radius daripada RTC.  Di bawah pelaksanaan program-program di RTC, sebanyak 8 inisiatif telah dikenalpasti, iaitu:

Inisiatif 1  – Latihan Kemahiran Kepada Penduduk Luar Bandar
Inisiatif 2  – Penubuhan Kios Informasi 1Malaysia
Inisiatif 3  – Pertanian Bernilai Tinggi
Inisiatif 4  – Pemprosesan Produk Agro-Makanan
Inisiatif 5  – Pengurusan Rantaian Bekalan Hasil Pertanian
Inisiatif 6  – Kerjasama Universiti
Inisiatif 7  – Perkhidmatan Keselamatan Makanan dan Farmaseutikal
Inisiatif 8  – Kemudahan Pembiayaan Kewangan Kepada Penduduk Luar Bandar

Pelaksanaan kelapan-lapan inisiatif ini diterajui oleh pelbagai Kementerian di samping kerjasama dan sokongan daripada lain-lain Kementerian berkaitan. Sebagai contoh, dalam pelaksanaan Inisiatif 4, iaitu pemprosesan produk agro-makanan, pengusaha-pengusaha produk industri asas tani dibantu dalam pembangunan produk mereka melalui penjenamaan, pelabelan, pembungkusan dan persijilan dengan bantuan pelbagai agensi, antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), MARDI dan Jabatan Kesihatan.

Inisiatif 1 : Latihan Kemahiran

KKLW membantu penduduk luar bandar dengan menyediakan peluang latihan secara berterusan kepada masyarakat luar bandar di pusat-pusat RTC dan kawasan sekitar bertujuan menambah pengetahuan, kemahiran dan keupayaan bagi meningkatkan pendapatan, peluang pekerjaan dan taraf hidup.

Antara jenis-jenis latihan yang ditawarkan adalah seperti:

  • Keusahawanan
  • Motivasi Keusahawanan
  • Pembungkusan dan Penjenamaan
  • Persembahan Produk
  • Pengurusan Makanan Ternakan
  • Teknik Tertigasi
  • Kemahiran Baikpulih Penghawa Dingin
  • Kemahiran Teknologi Kimpalan

Inisiatif 2 : Kios Informasi 1Malaysia

Kios Informasi 1Malaysia merupakan pusat maklumat setempat yang menggabungkan informasi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai kementerian/agensi kerajaan. Terdapat 5 kios informasi yang ditempatkan di RTC dan menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti:

Kiosk KKLW  - Memberi maklumat Infodesa dan agensi-agensi KKLW.

Kiosk Jobs Malaysia - Menawarkan perkhidmatan peluang pekerjaan dan peluang majikan mendapatkan pekerja.

Kiosk Pusat Pembangunan Perniagaan Agri-Makanan  - Membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat pembangunan komuniti perniagaan makanan pertanian.

Kiosk KPDNKK - Pengguna boleh berbincang menerusi forum interaktif isu-isu kepenggunaan. Misalnya forum harga semasa Pricewatch dan perkhidmatan aplikasi SMS pengguna.

Kiosk MyEG – Mendapatkan pelbagai maklumat agensi awam.

Inisiatif 3 : Pertanian Bernilai Tinggi

Terdapat 3 projek utama pertanian bernilai tinggi yang sedang dan akan dilaksanakan iaitu:

  • Projek Penghasilan Sayur-Sayuran Premium di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lojing
  • Pelbagai sayur-sayuran yang mendapat permintaan tinggi dihasilkan, seperti tomato dan capsicum
  • Projek Penghasilan Produk Tenusu yang Selamat dan Berkualiti
  • Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT) disediakan bagi membantu penternak lembu tenusu berskala kecil memasarkan susu mentah. PPIT menyediakan khidmat nasihat teknikal dan menjalankan ujian kandungan dan kualiti susu. PPIT akan membeli susu mentah dan memasarkan ke kilang-kilang pemprosesan/memproses sendiri bagi menghasilkan susu pasteuris, susu pasteuris berperisa, yoghurt, dadih dan aiskrim.
  • Projek Ternakan Arowana
  • Projek ternakan Arowana merupakan satu industri bernilai tinggi dan mempunyai potensi yang besar. Melihat kepada pasaran semasa, aktiviti ini boleh dilaksanakan dan mendatangkan pulangan yang lumayan.

Inisiatif 4 : Pemprosesan Produk Agro Makanan

Inisiatif 4 bertujuan membangunkan usahawan di bidang pemprosesan makanan yang menekankan pembangunan dan peningkatan kualiti produk bagi pasaran tempatan dan global. Penekanan juga diberikan kepada aktiviti nilai tambah dan membangunkan usahawan industri asas tani nasional yang bersepadu ke arah peningkatan pendapatan masyarakat tani. Antara tumpuan produk pemprosesan agro-makanan di Perak meliputi:

  • Kuih Tradisional (e.g: Putu Perak)
  • Minyak Kelapa Dara
  • Jeruk Buah-buahan
  • Telur Asin
  • Kordial/Jus
  • Sos
  • Kerepek (Ubi/Pisang)
  • Makanan Sejuk Beku
  • Herba

Inisiatif 5 : Pemprosesan Produk Agro Makanan

Pengurusan rantaian bekalan hasil makanan merupakan:

  • satu konsep merasional semula pemasaran melalui pengurusan rantaian bekalan dari peringkat ladang terus kepada pengguna.
  • melibatkan proses perancangan, pelaksanaan dan kawalan operasi dalam rantaian bekalan secara cekap dan berkesan.
  • merangkumi pergerakan dan penstoran bahan mentah, inventori dan keluaran akhir daripada titik pengeluaran sehingga penggunaan.

Pages: 1  2