Program Jalan Luar Bandar (JALB) telah dilancarkan pada tahun 1977 melalui Accelerated Rural Road Programme (ARRP) yang bertujuan untuk mempercepat dan memperbanyak pembinaan jalan bagi menyediakan sistem perhubungan yang amat diperlukan di kawasan luar bandar.Program JALB telah dilaksanakan selaras dengan kenyataan dasar iaitu ‘untuk memperbaiki dan memperluaskan sistem pengangkutan di luar bandar’ di samping usaha yang berterusan ke arah mempertingkatkan liputan dan rangkaian sistem jalan raya di kawasan luar bandar. Usaha ini selaras dengan aspirasi KKLW untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi menerusi sistem penyampaian yang cekap dan berkesan untuk memenuhi kehendak rakyat yang semakin meningkat. Di samping itu, program JALB ini juga sejajar dengan matlamat KKLW untuk memperluaskan liputan prasarana asas sehingga meliputi 100% kampung-kampung di Semenanjung Malaysia dan 80% kampung-kampung di Negeri Sabah dan Sarawak.

Pada tahun 2015, Program JALB menerima peruntukan sebanyak RM981,323,800.00 dan telah membelanjakan sebanyak RM981,136,992.65  (99.98%) bagi pembinaan serta menaiktaraf jalan luar bandar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.