Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) telah mula dilaksanakan di bawah skim Accelerated Rural Water Supply di dalam Rancangan Malaysia Kedua (RMKe-2) (1971 hingga 1975) dan diteruskan sehingga RMKe-11.

Di antara matlamat dan objektif utama Program BALB adalah menyediakan dan memperluaskan liputan bekalan air bersih dan terawat agar taraf kesihatan dan kualiti hidup masyarakat di kawasan luar bandar dapat dipertingkatkan di seluruh negara dengan sasaran liputan adalah sebanyak 90%.

Bagi mencapai sasaran tersebut, Kementerian dengan kerjasama agensi-agensi yang terlibat sentiasa meneruskan kajian yang berterusan bagi memastikan kualiti bekalan air bersih dan terawat dapat dibekalkan secara lebih menyeluruh, cepat dan berkualiti kepada masyarakat luar bandar.

Pada tahun 2015, Program BALB telah menerima peruntukan sebanyak RM310,220,000.00 dan telah berjaya membelanjakan sebanyak RM302,990,266.50 (97.67%).